Friday, October 22, 2010

Galakan Taubat daripada Rasulullah s.a.w.


Allah s.w.t. menjadikan seluruh hidup ini, sebagai ujian bagi para hambaNya, bagi membezakan dalam kalangan para hambaNya, antara yang jujur denganNya dan yang mendustaiNya.

Di antara ujian tersebut, Allah s.w.t. meletakkan syariat sebagai ukuran bagi mendidik manusia, agar mengutamakan perintahNya daripada kehendak nafsu diri mereka. Sesiapa yang berjaya mengutamakan perintah Allah s.w.t. daripada kehendak nafsu dirinya dengan mengutamakan syariat, maka dia ialah orang yang berjaya, begitulah juga sebaliknya.

Adapun sesiapa yang mengutamakan kehendak nafsuNya daripada perintah Allah s.w.t., dengan melanggar syariatNya, maka dia telahpun menderhakaiNya dengan kemaksiatan. Maka, orang-orang tersebut merupakan orang yang malang terutamanya di Akhirat kelak.

Namun, bagi orang-orang yang melakukan kesalahan, kerana dikuasai oleh nafsu, dan lemah imannya, maka Allah s.w.t. sentiasa bersedia untuk menerima kepulangan para hambaNya kembali bersimpuh di bawah kebersamaan rahmatNya dengan taubat kepadaNya.

Allah s.w.t. sentiasa menanti kembalinya sang hamba yang berjauhan denganNya dan gembira dengan kepulangan sang hambaNya daripada kemaksiatan kepada ketaatan, lebih daripada gembiranya seorang perantau yang bertemu semula dengan tunggangan dan bekalan musafirnya, setelah kehilangannya.

Nah, sang musafir yang gembira dengan kepulangan haiwan tunggangannya sewajarnya bergembira, kerana dia sememangnya memerlukan kepada haiwan tunggangannya tersebut, agar dapat meneruskan perjalanannya. Oleh yang demikian, kegembiraan sang musafir tersebut bukan kerana mencintai haiwan tunggangannya kerana haiwan tersebut, tetapi kerana ada kepentingan daripada haiwan tunggangannya tersebut.

Adapun Allah s.w.t., yang tidak pernah memerlukan para hambaNya, tidak pernah berhajat kepada para hambaNya, malah terlebih gembira akan kepulangan para hambaNya kembali kepada ketaatan kepadaNya, dan bersimpuh dalam kebersamaanNya, bukan kerana kepentingan diriNya, tetapi kerana cintaNya kepada para hambaNya setulusnya. Inilah nilai cinta teragung daripada Allah s.w.t. yang Maha Agung.

Dia yang sentiasa memberi peluang dan terus memberi peluang kepada para hambaNya, sehinggakan Nabi s.a.w. sendiri yang pernah ditanya, sampai bilakah Allah s.w.t. akan terus memaafkan para hambaNya yang sentiasa bertaubat namun masih mengulangi kesalahannya, lalu bertaubat semula begitulah seterusnya, dengan jawapan: "Allah s.w.t. tidak akan pernah jemu memaafkan para hambaNya yang (jujur) bertaubat kepadaNya sehinggalah hamba itu sendiri yang jemu (daripada bertaubat kepadaNya)".

Rasulullah s.a.w. sentiasa menggalakkan umat Baginda s.a.w. agar bertaubat, kerana fitrah manusia yang serba lemah dan kekurangan, sentiasa tewas dengan hasutan syaitan dan dorongan nafsu yang mengajak kepad kederhakaan terhadapNya.
Oleh yang demikian, Rasulullah s.w.t. juga bersabda yang bermaksud: "Setiap anak Adam itu melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang-orang yang melakukan kesalahan adalah orang-orang yang bertaubat" (Hadis riwayat Ahmad dan At-Tirmizi)

Rasulullah s.a.w. bersabda lagi yang bermaksud: "Wahai manusia, bertaubatlah kepada Allah s.w.t. dan minta ampunlah daripadaNya, Sesungguhnya aku sendiri bertaubat kepada Allah s.w.t. setiap hari sebanyak seratus kali" (hadis riwayat Imam Muslim)

Bahkan, Rasulullah s.a.w. sentiasa memberi dorongan dan semangat kepada para umat Baginda s.a.w. yang sentiasa putus asa terhadap keampunanNya, dengan meyakini keampunan Allah s.w.t. yang Maha Luas. Pintu taubat sentiasa terbuka, bagi para hambaNya yang ingin kembali kepadaNya, keranaNya, dan dengan bantuanNya.

Rasulullah s.a.w. juga pernah bersabda yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah s.w.t. melebarkan tangan (sifat Maha PemurahNya) di malam hari untuk mengampunkan orang-orang yang membuat kemaksiatan di siang hari, dan Allah s.w.t. juga melebarkan tangan keampunanNya untuk mengampuni orang-orang yang membuat kemaksiatan di malam hari, sehinggalah matahari terbit dari sebelah barat (datangnya hari Kiamat)". (Hadis riwayat Imam Muslim)

Pada hakikatnya, Allah s.w.t. tidak pernah memerlukan para hambaNya, bahkan tidak pernah memerlukan taubat para hambaNya, tetapi para hamba tersebutlah yang justeru memerlukan taubat kepadaNya dan kembali ke pangkuan rahmatNya, kerana tiada nilai kehidupan mereka melainkan hanya dengan kebersamaan Allah s.w.t. dan keredhaanNya.

Rasulullah s.a.w. bersabda bahawasanya Allah s.w.t. telahpun berfirman (dalam hadis Qudsi): "Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diriKu, dan Aku jadikan kezaliman itu haram sesama kamu jua, maka janganlah kamu semua melakukan kezaliman.

"Wahai para hambaKu. Kamu semua sebenarnya sesat, kecuali sesiapa yang Aku memberi hidayah kepadanya, maka pohonlah hidayah daripadaKu nescaya Aku akan memberi hidayah kepadamu.

"Wahai para hambaKu. Kamu semua dalam kelaparan melainkan sesiapa yang Aku beri makan kepadanya, maka mintalah makanan daripadaKu, nescaya Aku akan memberi makan kepadaNya.

"Wahai para hambaKu. Kamu semua asalnya bertelanjang (tanpa pakaian dan penjagaan), melainkan sesiapa yang Aku beri pakaian kepadaNya. Oleh itu, mintalah agar Aku memberi pakaian kepadamu, nescaya Aku akan memberi pakaian kepadamu.

"Wahai para hambaKu. Sesungguhnya kamu semua melakukan kesalahan pada malam dan siang sedangkan Aku Maha Mengampuni sekalian dosa, maka mintalah ampun daripadaKu, nescaya Aku akan ampuni kamu semua.

Wahai para hambaKu. Kamu semua tidak dapat mencapai akan sebarang kemudaratan bagi memudaratkanKu. Kamu semua juga tidak akan dapat mencapai suatu kemanfaatan bagi memanfaatkanKu.

"Wahai para hambaKu. Kalaulah seluruh makhluk daripada yang paling awal, sehinggalah yang paling akhir wujud, manusia dan jin, seluruhnya, bertaqwa dengan taqwa orang yang paling bertaqwa dalam kalangan kamu, nescaya tidak akan bertambah akan kerajaanKu lagi.

"Wahai para hambaKu. Kalau seluruh makhluk daripada yang paling awal sehinggalah yang paling akhir wujud, samada jin ataupun manusia, seluruhnya, derhaka kepadaKu dengan sejahat-jahat penderhakaan dalam kalangan kamu, nescaya ianya tidak sedikitpun mengurangkan akan kerajaanKu sama sekali.

"Wahai para hambaKu. Kalau seluruh makhluk daripada yang paling awal sehinggalah yang paling akhir wujud, samada jin ataupun manusia, seluruhnya, berhimpun dan meminta daripadaKu, nescaya Aku akan memberikan setiap daripada kamu, akan perimntaan-permintaan mereka, dan ia tidak mengurangkan sedikitpun daripada apa yang Akum miliki, melainkan seumpama berkurangnya lautan apabila masuk ke dalam laut.

"Wahai para hambaKu. Hakikatnya (dalam seluruh kehidupan ini), hanyalah apa yang berkaitan dengan amalan kamu semua, yang Aku perhitungkan ke atas kamu, kemudian Aku memberi ganjaran terhadap amalan-amalan tersebut. Sesiapa yang mendapati akan kebaikan daripada amalannya, maka hendaklah dia memujiKu (bersyukur kepadaKu). Sesiapa yang mendapati akan keburukan daripada amalannya, maka tiada yang dipersalahkan melainkan dirinya sendiri." (Hadis riwayat Imam Muslim)

Oleh yang demikian, seseorang hamba yang jujur dalam kehambaan kepadaNya, sentiasa merasakan dirinya hina di hadapanNya, dan sentiasa bersegera untuk kembali kepadaNya dengan bertaubat kepadaNya, dan meminta bantuan daripada Allah s.w.t. agar Allah s.w.t. terus membantunya dalam ketaatan kepadaNya.

Apa yang penting, seseorang hamba yang ingin mengorak langkah baru setelah lemas dalam lautan kejauhanNya dengan maksiat dan dosa, hendaklah memulakan perjalanan pulang menujuNya dengan penuh kejujuran dan keikhlasan.

Seseorang perlulah memulakan perjalanan pulang menujuNya, dengan rasa bersalah kepadaNya, dan rasa hanya memerlukanNya dalam segenap kehidupan, lalu berjalan menujuNya dan masuk ke gerbang taubat dengan penuh keikhlasan, dengan niat, ingin bertaubat hanya kerana mencari redhaNya, bukan sebarang kepentingan yang lain, samda duniawi dan sebagainya.

Seseorang hamba yang ingin kembali kepadaNya, perlulah sentiasa meminta bantuan daripadaNya agar Dia sentiasa membantuNya untuk sampai kepadaNya, kerana tiada siapa yang mampu pulang dan sampai kepadaNya melainkan dengan bantuanNya. Oleh yang demikian, rasalah diri semakin hina di hadapanNya, di sepanjang jalan menujuNya, serta mintalah bantuan daripadaNya. Seseorang hanya sampai kepadaNya dengan bantuanNya, kerana tiada daya untuk melakukan ketaatan dan tiada upaya untuk menolak memaksiatan melainkan dengan bantuan Allah s.w.t..

No comments:

Post a Comment